Cabaran IPT

Cabaran IPT

ipta-1PADA 2015, lebih 200,000 siswazah berijazah institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini masih gagal mendapatkan pekerjaan walaupun telah menamatkan pengajian masing-masing sejak 2013. Menurut statistik pada separuh tahun pertama 2015, sebanyak 3.8 peratus graduan menganggur sekali gus menjadikan kumpulan terbesar penganggur di Malaysia. Tidakkah negara lain di dunia menghadapi situasi yang sama?

Akhbar The Austrialian melaporkan ijazah bukan lagi jaminan bagi mendapatkan pekerjaan. Kajian dari Graduate Careers Australia mendapati 41% majikan tidak berminat mengambil graduan dan 23% majikan hanya akan mengambil mereka yang benar-benar layak. Di Amerika Syarikat, graduan adalah penyumbang terbesar kepada pengangguran dan data menunjukkan 44% daripada graduan yang berusia 20-an terpaksa melakukan pekerjaan bergaji rendah.

Namun kemelut ini sama sekali tidak mematahkan semangat ribuan pelajar yang melangkah masuk ke menara gading terutamanya pada Ogos dan September setiap tahun di negara kita. Berkelulusan tinggi adalah aset yang menjamin kehidupan lebih baik pada masa akan datang. Maka, apakah sebenarnya yang membayangi isu graduan menganggur ini?

Berintegriti, jujur, dapat berkomunikasi dengan efektif, bermotivasi tinggi dan dapat menyelesaikan tugasan dengan berinovasi adalah antara kriteria yang sering digariskan oleh majikan selain kelulusan akademik. Terdengar juga rungutan majikan yang graduan tidak memperlihatkan nilai-nilai murni yang mungkin telah terhakis bersama arus ke­modenan kerana kurang diberi penekanan dalam pembelajaran. Jika ini yang dicari, bermakna pakej graduan merangkumi pelbagai kemahiran.

Menyedari kemelut yang dihadapi graduan kita, Pelan Pemba­ngunan Pendidikan Negara atau Malaysian Education Blueprint (MEB) yang menyasarkan 10 lonjakan dilancarkan. Pelan ini melengkapi Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dengan mengambil kira sistem pendidikan secara menyeluruh daripada peringkat awal sehingga pengajian tinggi. Salah satu daripada lonjakan dalam MEB adalah menghasilkan graduan yang seimbang. Sasaran ini tidak banyak berbeza dengan apa yang disasarkan oleh universiti di seluruh dunia, yang rata-rata me­rangkumkan kesemuanya sebagai kemahiran abad ke-21.

Universiti terkemuka dunia seperti Cambridge dan Oxford telah menyusun strategi pantas menyuburkan kemahiran abad ke-21. Kemahiran ini menjangkau sempadan pengetahuan bidang spesifik kepada kemahiran berbahasa asing, kemahiran memanfaatkan teknologi maklumat dan kemahiran diri seperti berkomunikasi dan menyelesaikan masalah. Kemahiran abad ke-21 menyasarkan penguasaan tiga jenis pengetahuan iaitu asas, meta dan humanistik. Penguasaan pengetahuan bidang pengajian serta bidang berkaitan amat penting di era ini. Contohnya, mendalami dan memanfaatkan teknologi maklumat dalam kejuruteraan adalah satu keperluan. University Cambridge meletakkan penguasaan teknologi maklumat sebagai satu kemahiran asas.

Pengetahuan meta atau dikenali ‘untuk bertindak’ memerlukan keupayaan untuk berfikir dan memberi respon yang sewajarnya dalam apa jua situasi. Kemahiran ini perlu diterap dan diperkukuh sepanjang siswa atau pelajar menimba ilmu bidang masing-masing. Untuk menjadikan masyarakat inovatif dan kreatif, mereka perlu diajar untuk berfikir inovatif dan kreatif. IPT boleh menyediakan suasana pembelajaran yang menjana kreativiti dan inovasi. Siswa perlu digalakkan menyelesaikan tugasan yang memerlukan pemikiran kritis. Mereka juga perlu disedarkan akan kepentingan pembelajaran sepanjang hayat.

Jika dihalusi, kemahiran abad ke-21 bukanlah perkara baharu di Malaysia. Domain pengetahuan kerangka kelayakan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi telah merangkumi sebahagian besar apa yang diperkatakan ini. Pelaksanaannya harus diperkemas agar IPT bukan sahaja menawarkan program yang diperlukan industri tetapi memastikan graduan yang dihasilkan akan menjadi rebutan industri.

Ahli akademik di IPT juga perlu melengkapi diri dengan kemahiran abad ke-21 bagi mempamerkan tahap kesarjanaan dan kedudukan mereka di menara gading. Intelek akademik perlu mendalami bidang masing-masing dan menyebar luas ilmu untuk dimanfaatkan bersama melalui pendekatan pedagogi yang efektif kepada pelajar, berkongsi dan memanfaatkan pengetahuan untuk masyarakat.

Sebagaimana pelajar, ahli akademik perlulah versatile, lebih peka kepada isu yang membadai masyarakat serta dapat memberikan idea bernas dalam menyelesaikannya. Ini kerana kepada ahli akademik negara menyandar harapan untuk bersama membantu membangunkan kurikulum yang holistik dan bersepadu yang akan dapat melahirkan insan yang berguna selaras dengan apa yang disasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara.

Institusi pengajian tinggi disarankan untuk menilai dan mengambil kira apa yang diperlukan oleh bakal majikan dalam menggubal kurikulum sesuatu program. Ini mencontohi universiti lain di dunia seperti Cambridge dan Oxford yang masih memberi perhatian kepada kehendak bakal majikan biarpun sistem pendidikan mereka sudah jauh ke hadapan.

Gandingan bersepadu industri, kurikulum yang mantap, sistem penyampaian yang baik dan disokong oleh pembuat polisi tentunya berupaya mewujudkan ekosistem yang dapat melahirkan graduan abad ke-21 yang lebih kompetitif dan berketrampilan.

– Utusan