Posts in "Uncategorized"

Graduan Kolej Vokasional Layak Lanjut Pengajian Dengan Ikuti Kursus Peralihan

Kuala Lumpur – Graduan lepasan Kolej Vokasional (KV) dikhabarkan tidak layak melanjutkan pengajian ke Pengajian tinggi meski mepunyai Diploma Vokasional Malaysia (DMV) kerana ia tidak diiktiraf Universiti Awam (UA).

Oleh kerana, syarat kelayakan yang ditetapkan oleh rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) adalah pelajar hendaklah mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dimana graduan kolej vokasional tidak mengambil peperiksaan tersebut dimana pelajar Kolej Vokasional ini menggunakan keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi memasuki kolej ini dan seterusnya belajar selama 4 tahun bagi mendapatkan pengiktirafan DVM.

Kita sedia maklum, pelajar di kolej Vokasional lebih menumpukan subjek kemahiran dan mengikuti pelajaran selama empat tahun dengan mengambil Sijil Vokasional Malaysia (SVM) pada tahun ke 2 dan seterusnya mengambil DVM. Setelah itu pelajar harus mengikuti program perlalihan selama satu atau dua semester di MTUN bagi melayakkan mereka mengikuti program teknologi kejuruteraan yang ditawarkan di MTUN. Kursus 1 atau 2 semester ini juga boleh di gantikan dengan memohon sijil Program Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) yang perlu dijalani oleh lepasan KV setelah 4 Tahun belajar di KV dan seterusnya bekerja sekurang kurangnya sehingga umur 21 tahun bagi melayakkan pelajar memohon sijil APEL dan melayakkan mereka melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi.

Selain itu, bagi pelajar yang cemerlang sijil DVM akan ditawarkan program praijazah bagi yang berminat menyambung pengajian mereka. Kesimpulannya, lepasan Kolej Vokasional ini layak melanjutkan pengajian ke Universiti Awam dan MTUN tetapi perlu memenuhi beberapa syarat kelayakan dan menjalani beberapa kursus peralihan dan praijazah bagi yang memperoleh keputusan cemerlang DVM. – Eduhub.my

Program Inkubator Industri lonjak Kolej Vokasional

  Sebahagian belia yang merupakan ahli Yayasan Muamalat Belia (YMB) bergambar dalam majlis sambutan hari kemerdekaan baru-baru ini.

KUANTAN  –  Seperti diketahui umum, kerajaan menaik taraf sekolah menengah vokasional di negara ini menjadi Kolej Vokasional yang melahirkan tenaga kerja mahir di peringkat diploma.

Sebagai usaha melonjak dan meningkatkan lagi daya saing penuntut di Kolej Vokasional di negara ini, Yayasan Muamalat Belia (YMB) dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Vokasional Kuantan di sini mengambil inisiatif mewujudkan Program Inkubator industri.

Pengerusi YMB, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, program berkenaan diperkenal bagi melahirkan pakar industri dalam kalangan penuntut di Kolej Vokasional Kuantan.

“Buat permulaan, program ini dilaksanakan di Kolej Vokasional Kuantan sebagai projek perintis. Menerusi program ini, penuntut kolej diberi pendedahan secara sistematik dengan dunia kerjaya sebenar di industri berkaitan pe­ngajian mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Ahmad Shukri berkata, Program Inkubator Industri memberi peluang kepada penuntut menjalani praktikal dengan penggunaan peralatan sebenar di industri semasa dalam pengajian.

Program itu juga, katanya, dapat membantu tenaga pengajar meningkatkan kemahiran pengajaran menerusi kerjasama industri.

“Program tersebut membuka peluang keusahawanan kepada penuntut dalam industri berkaitan sekali gus memboleh­kan mereka memiliki perniagaan sendiri apabila menamatkan pe­ngajian.

“Penuntut akan mendapat sijil kompetensi daripada industri berkaitan berhubung kemahiran yang dimiliki mereka bagi yang mengikuti program inkubator ini,” katanya.

Tambah beliau, usaha pelaksanaan program itu bagaimanapun tidak akan berjalan lancar jika tidak mendapat sokongan daripada semua pihak.

“Selain menggunakan dana YMB, kita berharap kerajaan mempertimbang geran khas untuk pelaksanaan Program Inkubator Industri di kolej vokasional di negara ini,” katanya.

– Utusan

10 Fakta Penting Mengenai Sijil Vokasional Malaysia, Diploma Vokasional Malaysia dan Kolej Vokasional.

Berikut adalah 10 fakta penting mengenai Sijil Vokasional Malaysia, Diploma Vokasional Malaysia dan Kolej Vokasional. Kepada semua murid tingkatan 3 dan ibu bapa yang mempunyai anak di sekolah, anda perlu tahu mengenai fakta-fakta ini. Cikgu-cikgu sekolah pun kena la tahu jugak. Nanti mesti ada murid yang tanya, terutamanya yang mengajar tingkatan 3 dimana ia berkaitan dengan artikel sebelumnya iaitu Hala Tuju PT3
Pertama:
Pada tahun 2012, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menaik taraf sistem pendidikan vokasional. Sekolah Menengah Vokasional (SMV) dinaiktaraf kepada Kolej Vokasional (KV) melalui Pelan Transformasi Pendidikan Vokasional.

Kedua:
Selanjar dengan naiktaraf SMV kepada KV, Sijil Pelajaran Malaysia (Vokasional) diganti dengan Sijil Vokasional Malaysia dan Diploma Vokasional Malaysia.

Ketiga:
Tempoh pengajian juga bertambah daripada 2 tahun kepada 4 tahun. Setelah tamat pengajian 4 tahun di Kolej Vokasional, pelajar akan digelar graduan diploma.
 

Sekolah Menegah Vokasional Kolej Vokasional
 

Tempoh Pengajian

 

2 tahun
(Tingkatan 4 dan 5)

 

2 tahun Program Pra Diploma +
2 tahun Program Diploma

 

 

Nama Sijil

 

 

Sijil Pelajaran Malaysia (Vokasional)

 

Sijil Vokasional Malaysia
(kesetaraan SPM bersyarat)
+
Diploma Vokasional Malaysia

(boleh memperoleh Sijil Kemahiran
Malaysia Tahap 4)

 

 

Tamat pengajian

 

 

Murid Lulusan SPMV

 

Graduan Diploma
(sekiranya tamat 4 tahun pengajian)

Keempat:
Pelajar yang telah tamat program Pra Diploma akan mendapat Sijil Vokasional Malaysia. Sijil Vokasional Malaysia (SVM) ini adalah setara dengan tiga kredit Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berdasarkan ketentuan berikut:

  1. Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) Akademik sama atau lebih daripada 3.33
  2. Kepujian dalam Bahasa Melayu SVM Kod 1104,
  3. PNGK Vokasional sama atau lebih daripada 3.67 dan kompeten semua modul vokasional

Kelima:
Setelah tamat program Pra Diploma dan memperoleh Sijil Vokasional Malaysia (SVM), pelajar berpeluang melanjutkan pelajaran ke Diploma Vokasional Malaysia di Kolej Vokasional. Syarat seperti ketentuan berikut:

  1. PNGK Akademik 2.00 bagi Modul Akademik
  2. PNGK Vokasional 2.67 dan kompenten semua Modul Vokasional

Keenam:

Berikut adalah carta alir program pengajian di Kolej Vokasional:

sijil vokasional malaysia

Ketujuh:

Pelajar yang melanjutkan pelajaran ke Diploma Vokasional Malaysia di Kolej Vokasional boleh memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) hingga ke tahap tertinggi iaitu pada Tahap 4.

Kelapan:
Program Diploma di KV telah pun mendapat akreditasi sementara (MQA-01) dari Malaysian Qualifications Agency (MQA) dan pelbagai Kementerian dan agensi bertauliah yang lain yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Kesembilan:

Syarat-syarat untuk memohon kemasukkan ke Kolej Vokasional sila rujuk di sini.

Kesepuluh:

Murid yang berpeluang untuk menyambung pengajian di Kolej Vokasional amat bertuah. Mereka berpeluang untuk memperoleh diploma dalam masa empat tahun sahaja (Fast track system). Murid yang berada di aliran perdana (SMK) perlukan masa sekurang-kurangnya 5 tahun untuk memperoleh diploma iaitu 2 tahun SPM dan 3 tahun diploma di IPT.

Sekiranya telah menyambung pengajian di Kolej Vokasional, janganlah berhenti sekerat jalan sahaja, iaitu hanya mengambil pengajian pra-diploma sahaja. Rugi besar. Sambung sampai dapat Diploma Vokasional Malaysia. Tak ada sijil SPM bukan isu jika anda telah memperoleh Diploma Vokasional yang diiktiraf oleh Malaysian Qualifications Agency (MQA).

Prospek Bidang Kemahiran Cerah

Sebahagian peserta Program Moh Orang Muda: Belajar dan Bekerja bersama-sama wakil penganjur selepas tamat program itu di SMK Tun Perak, Padang Rengas, Perak, baru-baru ini.

PERAK – Generasi muda terutama pelajar disaran mengikuti kursus-kursus kemahiran kerana prospek pekerjaan dalam bidang itu amat cerah pada masa depan.

Pengerusi Biro Pendidikan Parlimen Padang Rengas, Cikgu Mohamad Azir Ismail berkata, skop bidang kemahiran amat luas merangkumi masakan, pertanian, perhotelan dan perniagaan.

 

“Kemahiran bukan bidang kelas rendah tetapi mempunyai permintaan yang tinggi dalam pasaran kerja malah boleh mencipta peluang pekerjaan untuk rakan sebaya dan orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas tamat Program Moh Orang Muda: Belajar dan Bekerja anjuran Gerakan Belia 4B Padang Rengas dengan Biro Pendidikan Parlimen Padang Rengas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak, Padang Rengas, Perak, baru-baru ini.

Antara pengisian program termasuklah sesi wacana ilmu, pameran, demonstrasi jahitan dan masakan, ceramah motivasi kerjaya dan kemahiran.

Program ini turut mendapat kerjasama Pusat Giat MARA Kuala Kangsar, Kolej Komuniti Chenderoh dan Pusat Kerjaya Amanjaya, Pejabat Menteri Besar Perak.

Dalam pada itu, kata Moha­mad Azir, program seperti ini dapat mendekatkan kepimpinan pertubuhan bukan kerajaan dan Parlimen Padang Rengas dengan generasi muda sekali gus membuktikan mereka tidak dipinggirkan.

– Utusan

UM, UPM Antara 50 Universiti Terbaik Asia

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul antara 50 universiti terbaik Asia berdasarkan kedudukan Universiti Asia 2016 yang dikeluarkan oleh Quacquarelli Symonds (QS) hari ini.

Universiti Putra Malaysia yang berstatus universiti penyelidikan (RU), mencatat pe­ningkatan ketara apabila berjaya memperbaiki kedudukannya daripada tangga ke-66 pada tahun lalu kepada kedudukan 49.

Sementara itu, UM terus me­ngukuhkan kedudukannya apabila menduduki tangga ke-27 berbanding 29 pada tahun lalu.

Mengulas kejayaan itu, Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata, pencapaian berkenaan sangat membanggakan dan ia merupakan kejayaan bersama bagi warga universiti itu.

“Kegigihan warga UPM dalam menitikberatkan kualiti penyelidikan dan perkhidmatan yang diberikan menjadi kunci kepada kejayaan ini.

“Malah, kerjasama dengan pihak luar seperti penyelidik luar negara juga membantu UPM bagi menghasilkan sebuah penyelidikan yang berkualiti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Naib Canselor UM, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Amin Jalaludin berkata, UM akan terus menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi dalam usaha membantu dan membangunkan masyarakat.

“Kejayaan ini bukan sahaja menjadi penggerak kepada kerjasama penyelidikan dengan pihak industri malah meningkatkan tahap pengantarabangsaan UM dalam semua aspek,” katanya.

Sementara itu, tiga universiti tempatan yang berstatus RU turut berada dalam senarai 100 terbaik iaitu Universiti Sains Malaysia (USM) di tangga ke-51, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di tangga ke-55 dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di tangga ke-66.

– Utusan

Program Pergigian Untuk Golongan Berkeperluan Khas

Gambar HiasanPULAU PINANG  –Menyedari kepentingan kesihatan pergigian dalam kalangan individu berkeperluan khas, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif mengadakan program kesihatan pergigian kepada pelatih berkeperluan khas.

Program dengan kerjasama Yayasan CIMB itu diadakan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sinar Harapan, Permatang Manggis, di sini baru-baru ini membabitkan seramai 40 peserta.

Menurut Ketua Projeknya, Dr. Norehan Mokhtar, program itu bertujuan menimbulkan kese­da­ran tentang kepentingan kesihatan pergigian kepada pelatih dan penjaga individu berkeperluan khas.

Antaranya, kata beliau, dalam kalangan individu yang mengalami masalah seperti ketidakupayaan fizikal, masalah pembelajaran, perkembangan lewat, sindrom down, autisme, hiperaktif, cerebral palsy dan sebagainya.

Ujar Norehan yang juga Pengarah IPPT dan Pakar Perun­ding Ortodontik, golongan itu memerlukan pendekatan khas untuk meningkatkan potensi diri dan terlibat dalam aktiviti sosial seperti berkawan, bermain dan bermasyara­kat.

“Program ini juga menjurus ke arah pendekatan itu tetapi menekankan kepentingan peranan penjaga untuk menggalakkan pelatih membersihkan gigi.

“Bagi pelatih yang kurang upaya serta mengalami ketidakcekapan mental, peranan penjaga amat penting untuk membantu pelatih melakukan pembersihan gigi,” katanya.

Sementara itu, Penyelia PDK Sinar Harian, Noryani Abd. Manap berharap program tersebut dapat diteruskan pada masa depan memandangkan banyak ilmu baharu diperoleh penjaga kepada individu berkeperluan khas terbabit.

Tambahnya, ceramah dan aktiviti yang dianjurkan sepanjang program itu seperti demonstrasi penjagaan kesihatan mulut, aktivi­ti pemulihan cara kerja, pameran dan pemeriksaan kesihatan banyak membantu penjaga di pusat tersebut dalam mendekati golongan berkeperluan khas.

– Utusan

Azam Tahun Baru 2017

Lagi beberapa hari tahun 2016 bakal melabuhkan tirai bermakna tahun baru 2017 bakal menjelma. Tibanya tahun baru, sudah pasti anda semua akan membuat azam baru, iaitu untuk memperbaiki diri dari segi kerjaya mahupun peribadi.

Namun, apa azam yang paling popular dan adakah kita semua mempunyai azam yang sama?

 

Tahun baru membuka peluang kepada kita untuk menjadi seorang yang lebih baik dari pelbagai aspek. Tentu ramai yang sedar antara cara untuk mencapainya adalah dengan mempunyai azam tahun baru.

Ia dapat menjadi panduan kepada kita tidak kiralah apa jua yang mahu kita capai. Di sini kami kongsikan beberapa azam baru untuk anda bagi memulakan tahun 2017.

I. Jadi Lebih Sihat

Sihat tidak semestinya hanya dengan disiplin diet sahaja. akukanlah lebih banyak aktiviti sukan atau senaman dan jagalah pemakanan. Barulah tahun 2017 lebih mudah ditempuhi tanpa sebarang gangguan kesihatan.

II. Tampil Lebih Gembira

Utamakan perkara yang penting dan kurangkan memikirkan perkara remeh temeh seperti cinta dan hiburan. Buat aktiviti yang embuatkan kita jadi lebih gembira dan lupakan kesedihan yang tidak membawa sebarang makna.

III. Prihatin

Jadi lebih peka dengan kesusahan orang lain dan berbakti kepada masyarakat. Dermakan baju lama atau jaga persekitaran. Mengajak rakan melakukannya bersama-sama pasti lebih menyeronokkan.

IV. Tingkatkan Produktiviti Anda

Tidak semestinya terus mahu mendapatkan anugerah senarai dekan ataupun pekerja terbaik bulanan. Mulakan dengan langkah kecil seperti datang kerja atau ke kelas lebih awal, lebihkan masa belajar dan berkomunikasi dengan lebih baik.

V. Eratkan Silaturahim

Siapalah kita tanpa keluarga yang menyokong. Hubungi keluarga selalu dan tunjukkan yang kita sayang kepada mereka. Jika ada salah faham, maafkan saja dan buka buku baru.

VI. Terokai Perkara Baru

Teroka kebolehan diri pada tahun baru dengan belajar sesuatu yang kita tidak pernah lakukan sebelum ini. Bukan bermaksud mencuba perkara terlarang, lakukan atau cubalah perkara baru yang mendatangkan faedah. Tidak kiralah bermain alat muzik, berenang atau mempelajari ilmu perniagaan. Mana tahu kita sebenarnya berkebolehan dan ia pastinya berguna satu masa nanti.

Cabaran IPT

ipta-1PADA 2015, lebih 200,000 siswazah berijazah institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini masih gagal mendapatkan pekerjaan walaupun telah menamatkan pengajian masing-masing sejak 2013. Menurut statistik pada separuh tahun pertama 2015, sebanyak 3.8 peratus graduan menganggur sekali gus menjadikan kumpulan terbesar penganggur di Malaysia. Tidakkah negara lain di dunia menghadapi situasi yang sama?

Akhbar The Austrialian melaporkan ijazah bukan lagi jaminan bagi mendapatkan pekerjaan. Kajian dari Graduate Careers Australia mendapati 41% majikan tidak berminat mengambil graduan dan 23% majikan hanya akan mengambil mereka yang benar-benar layak. Di Amerika Syarikat, graduan adalah penyumbang terbesar kepada pengangguran dan data menunjukkan 44% daripada graduan yang berusia 20-an terpaksa melakukan pekerjaan bergaji rendah.

Namun kemelut ini sama sekali tidak mematahkan semangat ribuan pelajar yang melangkah masuk ke menara gading terutamanya pada Ogos dan September setiap tahun di negara kita. Berkelulusan tinggi adalah aset yang menjamin kehidupan lebih baik pada masa akan datang. Maka, apakah sebenarnya yang membayangi isu graduan menganggur ini?

Berintegriti, jujur, dapat berkomunikasi dengan efektif, bermotivasi tinggi dan dapat menyelesaikan tugasan dengan berinovasi adalah antara kriteria yang sering digariskan oleh majikan selain kelulusan akademik. Terdengar juga rungutan majikan yang graduan tidak memperlihatkan nilai-nilai murni yang mungkin telah terhakis bersama arus ke­modenan kerana kurang diberi penekanan dalam pembelajaran. Jika ini yang dicari, bermakna pakej graduan merangkumi pelbagai kemahiran.

Menyedari kemelut yang dihadapi graduan kita, Pelan Pemba­ngunan Pendidikan Negara atau Malaysian Education Blueprint (MEB) yang menyasarkan 10 lonjakan dilancarkan. Pelan ini melengkapi Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dengan mengambil kira sistem pendidikan secara menyeluruh daripada peringkat awal sehingga pengajian tinggi. Salah satu daripada lonjakan dalam MEB adalah menghasilkan graduan yang seimbang. Sasaran ini tidak banyak berbeza dengan apa yang disasarkan oleh universiti di seluruh dunia, yang rata-rata me­rangkumkan kesemuanya sebagai kemahiran abad ke-21.

Universiti terkemuka dunia seperti Cambridge dan Oxford telah menyusun strategi pantas menyuburkan kemahiran abad ke-21. Kemahiran ini menjangkau sempadan pengetahuan bidang spesifik kepada kemahiran berbahasa asing, kemahiran memanfaatkan teknologi maklumat dan kemahiran diri seperti berkomunikasi dan menyelesaikan masalah. Kemahiran abad ke-21 menyasarkan penguasaan tiga jenis pengetahuan iaitu asas, meta dan humanistik. Penguasaan pengetahuan bidang pengajian serta bidang berkaitan amat penting di era ini. Contohnya, mendalami dan memanfaatkan teknologi maklumat dalam kejuruteraan adalah satu keperluan. University Cambridge meletakkan penguasaan teknologi maklumat sebagai satu kemahiran asas.

Pengetahuan meta atau dikenali ‘untuk bertindak’ memerlukan keupayaan untuk berfikir dan memberi respon yang sewajarnya dalam apa jua situasi. Kemahiran ini perlu diterap dan diperkukuh sepanjang siswa atau pelajar menimba ilmu bidang masing-masing. Untuk menjadikan masyarakat inovatif dan kreatif, mereka perlu diajar untuk berfikir inovatif dan kreatif. IPT boleh menyediakan suasana pembelajaran yang menjana kreativiti dan inovasi. Siswa perlu digalakkan menyelesaikan tugasan yang memerlukan pemikiran kritis. Mereka juga perlu disedarkan akan kepentingan pembelajaran sepanjang hayat.

Jika dihalusi, kemahiran abad ke-21 bukanlah perkara baharu di Malaysia. Domain pengetahuan kerangka kelayakan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi telah merangkumi sebahagian besar apa yang diperkatakan ini. Pelaksanaannya harus diperkemas agar IPT bukan sahaja menawarkan program yang diperlukan industri tetapi memastikan graduan yang dihasilkan akan menjadi rebutan industri.

Ahli akademik di IPT juga perlu melengkapi diri dengan kemahiran abad ke-21 bagi mempamerkan tahap kesarjanaan dan kedudukan mereka di menara gading. Intelek akademik perlu mendalami bidang masing-masing dan menyebar luas ilmu untuk dimanfaatkan bersama melalui pendekatan pedagogi yang efektif kepada pelajar, berkongsi dan memanfaatkan pengetahuan untuk masyarakat.

Sebagaimana pelajar, ahli akademik perlulah versatile, lebih peka kepada isu yang membadai masyarakat serta dapat memberikan idea bernas dalam menyelesaikannya. Ini kerana kepada ahli akademik negara menyandar harapan untuk bersama membantu membangunkan kurikulum yang holistik dan bersepadu yang akan dapat melahirkan insan yang berguna selaras dengan apa yang disasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara.

Institusi pengajian tinggi disarankan untuk menilai dan mengambil kira apa yang diperlukan oleh bakal majikan dalam menggubal kurikulum sesuatu program. Ini mencontohi universiti lain di dunia seperti Cambridge dan Oxford yang masih memberi perhatian kepada kehendak bakal majikan biarpun sistem pendidikan mereka sudah jauh ke hadapan.

Gandingan bersepadu industri, kurikulum yang mantap, sistem penyampaian yang baik dan disokong oleh pembuat polisi tentunya berupaya mewujudkan ekosistem yang dapat melahirkan graduan abad ke-21 yang lebih kompetitif dan berketrampilan.

– Utusan

Huffaz-M Permudah Hafazan Al-Quran

Rashidi Abbas memperkenalkan Huffaz-M yang merupakan salah satu kaedah hafazan menggunakan aplikasi teknologi terkini di UMP, Kuantan,

KUANTAN – Penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya menghasilkan terknologi yang boleh dijadikan sebagai alat bantuan bagi proses hafazan al-Quran dikenali sebagai Huffaz-M.

Penyelidikan itu bermula pada Disember 2014 dan siap Januari lalu. Pensyarah Pusat Bahasa Mo­den dan Sains Kemanusiaan UMP, Dr. Rashidi Abbas berkata, Huffaz-M merupakan salah satu kaedah yang menggunakan apli­kasi teknologi terkini untuk mengekalkan hafazan.

“Huffaz-M juga menyediakan kit panduan hafazan berkesan untuk para huffaz dan buku sebagai rujukan semua.

“Aplikasi ini dapat meningkatkan proses hafazan secara efektif dan berkesan serta membantu madrasah, maahad tahfiz, institut tahfiz melahirkan lebih ramai hu­ffaz al-Quran.

“Peningkatan bacaan hafazan ini termasuklah kaedah untuk hafazan yang baharu (dars jadid), kaedah mengekalkan hafazan yang lepas (sabiq) dan kaedah mengulang-ulang bacaan (taqrir/murajaah),” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Rashidi berkata, Huffaz-M boleh dimasukkan ke dalam telefon pintar melalui perisian yang perlu dimuat turun dari Google Play Store bagi memudahkan pelajar.

“Bagi pelajar, perlu ada telefon pintar untuk memuat naik apli­kasi ini dan boleh melihat dan mendengar bacaan yang betul dari qari serta dapat mengulang-ulang kembali ayat yang belum dikuasai atau dihafal,” katanya.

Beliau berkata, anggaran kos untuk satu set peranti berkenaan adalah RM200 termasuk dengan aplikasi Android.

“Penemuan ini bukan sahaja dapat membantu pelajar meningkatkan dan mengekalkan hafazan dan malah mudah dibawa ke mana sahaja. Saya berharap apikasi ini dapat dikembangkan dan dimanfaatkan terutama kepada pelajar-pelajar tahfiz dan Maahad Tahfiz di seluruh negara,” katanya.

Penyelidikan itu diiktiraf apa­bila meraih pingat emas di pertandingan Reka Cipta, Kreatif dan Inovasi (Citrex) 2016 dan pi­ngat gangsa di Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2016.

– Utusan

Kerjasama USM & PDRM Buka Peluang Kerjaya Pakar Forensik

ASMA ISMAIL dan Khalid Abu Bakar menunjukkan dokumen yang ditandatangani dalam majlis menandatangani MoA antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan PDRM di USM, Pulau Pinang, baru-baru ini

PULAU PINANG  – Universiti Sains Malaysia (USM) melangkah setapak ke hadapan dalam menawarkan kepakaran sains forensik kepada pelajarnya menerusi kerjasama terbaharu dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini.

Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail berkata, menerusi memorandum perjanjian (MoA) bersama PDRM, penuntut USM kini berpeluang menjalankan pelbagai projek penyelidikan melibatkan penggunaan senjata api dan borang soal selidik de­ngan bantuan dan sokongan pi­hak berkuasa berkenaan.

Menurut Asma, jalinan kerjasama ini merupakan salah satu kemudahan untuk para pelajar terutamanya dalam menjalani la­tihan simulasi sebagai persedia­an menghadapi alam pekerjaan setelah bergelar graduan USM.

“Kolaborasi ini juga memberikan banyak peluang sebagai projek tahun akhir kepada pelajar pascasiswazah bagi pengajian peringkat Sarjana dan Kedoktoran,” jelasnya

Beliau berkata demikian dalam majlis menandatangani MoA itu di sini baru-baru ini dengan Ke­tua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mewakili PDRM.

Menurut Asma, kerjasama itu merupakan komitmen USM dalam menyediakan fasiliti yang selesa untuk para pelajar serta mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif.

“Ini merupakan suntikan baharu dan dorongan semangat kepada seluruh warga USM untuk memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan, pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan program komuniti.

“Saya secara peribadi juga mencadangkan kerjasama ini dipanjangkan kepada melatih jururawat-jururawat yang bertugas di Unit Kecemasan Hospital supaya faham dan mahir dalam mengambil spesimen bagi membantu siasatan pihak polis,” katanya.

Sementara itu, Khalid pula menyifatkan kerjasama tersebut selain merupakan ke­sinambungan hubungan sedia terjalin antara kedua-dua institusi itu sejak 2000, bahkan turut membuka lembaran baharu yang menjurus kepada usaha sama strategik pe­ngajian dan penyelidikan dalam bidang sains forensik.

“Saya berbesar hati untuk berkongsi bahawa PDRM telah menandata­ngani MoU pertama dengan USM pada 30 Julai 2003 dan kerjasama ini diperkasakan lagi dengan termeterainya Memorandum MoA dengan USM pada 21 Jun 2008 dengan objektif utamanya adalah untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang Sains Forensik bagi tempoh lima tahun,” katanya.

Melalui MoA itu juga, USM turut menawarkan kemudahan tempat bagi lima pegawai PDRM untuk menyambung pengajian meliputi bidang pengajian Sains Forensik peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dengan pengecualian sepenuhnya yuran pengajian.

– UTUSAN