Program Inkubator Industri lonjak Kolej Vokasional

Program Inkubator Industri lonjak Kolej Vokasional

  Sebahagian belia yang merupakan ahli Yayasan Muamalat Belia (YMB) bergambar dalam majlis sambutan hari kemerdekaan baru-baru ini.

KUANTAN  –  Seperti diketahui umum, kerajaan menaik taraf sekolah menengah vokasional di negara ini menjadi Kolej Vokasional yang melahirkan tenaga kerja mahir di peringkat diploma.

Sebagai usaha melonjak dan meningkatkan lagi daya saing penuntut di Kolej Vokasional di negara ini, Yayasan Muamalat Belia (YMB) dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Vokasional Kuantan di sini mengambil inisiatif mewujudkan Program Inkubator industri.

Pengerusi YMB, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, program berkenaan diperkenal bagi melahirkan pakar industri dalam kalangan penuntut di Kolej Vokasional Kuantan.

“Buat permulaan, program ini dilaksanakan di Kolej Vokasional Kuantan sebagai projek perintis. Menerusi program ini, penuntut kolej diberi pendedahan secara sistematik dengan dunia kerjaya sebenar di industri berkaitan pe­ngajian mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Ahmad Shukri berkata, Program Inkubator Industri memberi peluang kepada penuntut menjalani praktikal dengan penggunaan peralatan sebenar di industri semasa dalam pengajian.

Program itu juga, katanya, dapat membantu tenaga pengajar meningkatkan kemahiran pengajaran menerusi kerjasama industri.

“Program tersebut membuka peluang keusahawanan kepada penuntut dalam industri berkaitan sekali gus memboleh­kan mereka memiliki perniagaan sendiri apabila menamatkan pe­ngajian.

“Penuntut akan mendapat sijil kompetensi daripada industri berkaitan berhubung kemahiran yang dimiliki mereka bagi yang mengikuti program inkubator ini,” katanya.

Tambah beliau, usaha pelaksanaan program itu bagaimanapun tidak akan berjalan lancar jika tidak mendapat sokongan daripada semua pihak.

“Selain menggunakan dana YMB, kita berharap kerajaan mempertimbang geran khas untuk pelaksanaan Program Inkubator Industri di kolej vokasional di negara ini,” katanya.

– Utusan