Program Pergigian Untuk Golongan Berkeperluan Khas

Program Pergigian Untuk Golongan Berkeperluan Khas

Gambar HiasanPULAU PINANG  –Menyedari kepentingan kesihatan pergigian dalam kalangan individu berkeperluan khas, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif mengadakan program kesihatan pergigian kepada pelatih berkeperluan khas.

Program dengan kerjasama Yayasan CIMB itu diadakan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sinar Harapan, Permatang Manggis, di sini baru-baru ini membabitkan seramai 40 peserta.

Menurut Ketua Projeknya, Dr. Norehan Mokhtar, program itu bertujuan menimbulkan kese­da­ran tentang kepentingan kesihatan pergigian kepada pelatih dan penjaga individu berkeperluan khas.

Antaranya, kata beliau, dalam kalangan individu yang mengalami masalah seperti ketidakupayaan fizikal, masalah pembelajaran, perkembangan lewat, sindrom down, autisme, hiperaktif, cerebral palsy dan sebagainya.

Ujar Norehan yang juga Pengarah IPPT dan Pakar Perun­ding Ortodontik, golongan itu memerlukan pendekatan khas untuk meningkatkan potensi diri dan terlibat dalam aktiviti sosial seperti berkawan, bermain dan bermasyara­kat.

“Program ini juga menjurus ke arah pendekatan itu tetapi menekankan kepentingan peranan penjaga untuk menggalakkan pelatih membersihkan gigi.

“Bagi pelatih yang kurang upaya serta mengalami ketidakcekapan mental, peranan penjaga amat penting untuk membantu pelatih melakukan pembersihan gigi,” katanya.

Sementara itu, Penyelia PDK Sinar Harian, Noryani Abd. Manap berharap program tersebut dapat diteruskan pada masa depan memandangkan banyak ilmu baharu diperoleh penjaga kepada individu berkeperluan khas terbabit.

Tambahnya, ceramah dan aktiviti yang dianjurkan sepanjang program itu seperti demonstrasi penjagaan kesihatan mulut, aktivi­ti pemulihan cara kerja, pameran dan pemeriksaan kesihatan banyak membantu penjaga di pusat tersebut dalam mendekati golongan berkeperluan khas.

– Utusan