UM, UPM Antara 50 Universiti Terbaik Asia

UM, UPM Antara 50 Universiti Terbaik Asia

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul antara 50 universiti terbaik Asia berdasarkan kedudukan Universiti Asia 2016 yang dikeluarkan oleh Quacquarelli Symonds (QS) hari ini.

Universiti Putra Malaysia yang berstatus universiti penyelidikan (RU), mencatat pe­ningkatan ketara apabila berjaya memperbaiki kedudukannya daripada tangga ke-66 pada tahun lalu kepada kedudukan 49.

Sementara itu, UM terus me­ngukuhkan kedudukannya apabila menduduki tangga ke-27 berbanding 29 pada tahun lalu.

Mengulas kejayaan itu, Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata, pencapaian berkenaan sangat membanggakan dan ia merupakan kejayaan bersama bagi warga universiti itu.

“Kegigihan warga UPM dalam menitikberatkan kualiti penyelidikan dan perkhidmatan yang diberikan menjadi kunci kepada kejayaan ini.

“Malah, kerjasama dengan pihak luar seperti penyelidik luar negara juga membantu UPM bagi menghasilkan sebuah penyelidikan yang berkualiti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Naib Canselor UM, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Amin Jalaludin berkata, UM akan terus menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi dalam usaha membantu dan membangunkan masyarakat.

“Kejayaan ini bukan sahaja menjadi penggerak kepada kerjasama penyelidikan dengan pihak industri malah meningkatkan tahap pengantarabangsaan UM dalam semua aspek,” katanya.

Sementara itu, tiga universiti tempatan yang berstatus RU turut berada dalam senarai 100 terbaik iaitu Universiti Sains Malaysia (USM) di tangga ke-51, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di tangga ke-55 dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di tangga ke-66.

– Utusan